Sunday, June 6, 2010

KEZALIMAN YANG DISELINDUNGI


Sejarah manusia mencatatkan bahawa kezaliman berlaku dalam banyak bentuk. Ada kezaliman yang dilakukan sebagai simbol kekuatan seperti dalam peperangan. Ada kezaliman yang dilakukan sebagai simbol penguasaan seperti penjajahan. Ada kezaliman yang dilakukan kerana nafsu pemimpin dan dipaksakan ke atas orang bawahan untuk melaksanakannya. Ada pula kezaliman yang disembunyikan agar orang yang dizalimi terus tunduk di bawah penguasaan penzalim. Oleh itu penzalim akan menguasai `media' agar kezaliman yang dilakukan dapat diolah seperti suatu perlakuan biasa dan memenuhi fitrah. Tujuannya agar orang yang dizalimi atau orang luar dapat `diperbodohkan'. Orang yang tidak sedar situasi sebenar akan mudah dimanupulasi. Sebab itulah Yahudi sangat memahami kuasa maklumat bagi menguasai dunia.
Walau apa pun keadaannya, kezaliman adalah satu kekejian. Ia bertentangan dengan fitrah manusia yang murni. Ia jauh dari nilai ajaran agama apatah lagi Islam. Orang yang zalim dikutuk oleh Allah SWT. Orang yang merelakan kezaliman berlaku jauh dari pedoman agama. Orang yang sanggup dizalimi adalah dayus sekiranya dia mampu mengubah keadaannya. Orang yang merelakan hak diri, keluarga dan keturunannya dizalimi adalah orang yang membelakangkan ajaran agama walau pun kelihatannya dia taatkan agama. Bagaimana pula keadaannya orang yang menghalang atau menentang bahkan memfitnah orang yang cuba membawa keadilan kepada orang yang sedang dizalimi? Sedangkan mereka tiada kepentingan peribadi. Bukankah sejarah perjuangan para nabi dan rasul penuh dengan perjuangan menentang penzalim dan pendokong mereka? Kalaulah Allah melaknat mereka yang bernama Firaun, Haman dan Abu Jahal kerana kedegilan mereka mempertahankan kezaliman yang telah sebati dengan mereka, kenapa pula Allah akan berkompromi dengan mereka yang menzalimi orang ramai sedangkan mereka telah diberi pedoman agama sejak kecil? Bukankah orang yang telah sedia mengetahui kekejian sifat kezaliman wajar dihukum Allah dengan azab yang lebih dahsyat. Apatah lagi jika kezaliman itu berkaitan dengan mengkhianati amanah rakyat.
Namun begitu, ada juga orang yang terkeliru dengan tindakan mereka. Kezaliman dianggap wajar bagi menjaga kepentingan mereka. Kezaliman juga dianggap patut kerana itu sahajalah jalan bagi mereka terus `survive' dalam kemewahan. Ada juga pelaksana kezaliman telah dilalikan dengan `mentera' oleh pemimpin mereka bahawa tindakan mereka adalah betul demi menjalankan tugas dan tanggungjawab demi negara. Kesian mereka kerana bersungguh-sungguh menyuapkan `bara api neraka' ke tekak ahli keluarga mereka tanpa sedar.

No comments:

Post a Comment